Bagaimanapun, sebarang majlis pernikahan perlu mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan. - Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Ismail Sabri Yaakob.
"Ramai yang memohon kebenaran rentas negeri antaranya untuk bernikah dengan pasangan di negeri yang lain.
“Jadi mesyuarat hari ini membuat keputusan untuk membenarkan mereka rentas negeri untuk akad nikah, namun perlu mengikut SOP penjarakan sosial dan tidak ada perhimpunan ramai," katanya pada sidang media harian perkembangan PKPB di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, dalam mesyuarat telah memutuskan untuk membenarkan jurufoto perkahwinan melakukan penggambaran praperkahwinan di tempat terbuka mengikut SOP ditetapkan.
Aktiviti penggambaran filem, drama dan iklan juga turut dibenarkan mulai 10 Jun ini.
Dalam pada itu, pematuhan rakyat terhadap SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semakin meningkat susulan tiada tindakan dikenakan untuk kompoun ziarah perayaan Aidilfitri dan tiada berita palsu dilaporkan mengenai Covid-19.
Menurutnya lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 33 individu atas kesalahan ingkar PKPB namun tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.
“Tiada pertambahan kertas siasatan baharu yang dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam tempoh seminggu yang lepas. Ini menunjukkan kesedaran masyarakat meningkat terhadap kepentingan tidak berkongsi berita palsu,” katanya.
Sumber : Berita Harian


0 Comments