Kedah : Kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk memberi kebenaran 'Kawasan Bebas Berniaga' di beberapa daerah terpilih mulai Ahad ini. Ini selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan Kuala Lumpur menjadi 'Kawasan Bebas Berniaga' semalam.
Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dibuat untuk membantu peniaga yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
'Kawasan Bebas Beniaga' ini akan berkuat kuasa mulai 15 November ini melibatkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Majlis Perbandaran Langkawi (MPL), Majlis Perbandaran Kulim (MPK) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP).
"Peniaga yang ingin berniaga boleh memilih tapak bersesuaian selepas merujuk dan mendapatkan kelulusan daripada PBT masing-masing," katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas, peniaga dan penjaja perlu memohon permit perniagaan sementara sebanyak RM10 sebulan yang boleh dibayar melalui PBT terbabit.
Katanya lagi, mereka perlu sentiasa mematuhi syarat yang ditetapkan PBT seperti yang termaktub dalam undang-undang sedia di bawah PBT masing-masing.
"Mereka juga perlu memastikan barang perniagaan tidak ditinggalkan di kawasan tapak berniaga, tidak mengganggu lalu lintas, tidak mengancam keselamatan awam dan menjaga kebersihan.
"Saya harap semua PBT terbabit dapat memberi kerjasama penuh kepada peniaga yang rata-ratanya mencari nafkah melalui perniagaan.
"Tetapi jika terdapat aduan orang ramai mereka tidak menjaga kebersihan atau sebagainya, PBT akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap peniaga terbabit," katanya.
Terdahulu, Menteri Besar, Muhammad Sanusi melawat mangsa kebakaran di Kampung Alor Madi, Anak Bukit, dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang terlibat.
Sumber : Harian Metro

0 Comments