SHAH ALAM - Keputusan pembatalan cuti umum Thaipusam oleh kerajaan pimpinan Pas negeri Kedah dianggap keputusan berat sebelah.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, walaupun cuti Thaipusam adalah hak prerogatif negeri, namun keputusan tersebut menunjukkan keangkuhan pemerintah Kedah.
Tambahnya, walaupun penganut Hindu tidak dibenarkan meraikan Thaipusam di kuil ketika wabak pandemik Covid-19, kerajaan Kedah tidak sepatutnya mengisytiharkan ketiadaan cuti umum bagi perayaan tersebut kerana keputusan itu tidak boleh diterima sama sekali.
"Hanya kerana kita tidak dapat pergi ke kuil tidak bererti kita tidak dapat merayakannya di rumah.
"Penganut Hindu di Malaysia jelas kesal dan terganggu dengan pengumuman oleh Menteri Besar kerana ini adalah perayaan yang disambut oleh penganut Hindu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor telah mengumumkan tidak ada cuti umum bagi perayaan Thaipusam di negeri Kedah pada tahun ini, kerana semua aktiviti tersebut dibatalkan kerana PKP dikuatkuasakan.
Dalam masa yang sama, Menteri sumber manusia itu turut mengingatkan tindakan kerajaan Pas itu akan merugikan gabungan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya akan datang.
“Menteri Besar kena ingat bahawa partinya (Pas) juga merupakan anggota gabungan itu".
“Sebarang keputusan seperti yang diumumkan hari ini seharusnya dibuat setelah berunding dengan wakil India dalam kerajaan persekutuan, yang merupakan MIC.
"Apa yang pasti MIC tidak pernah dimaklumkan mengenai tindakan ini. MIC tidak akan membiarkan keputusan seperti itu dilaksanakan. " katanya.
Ujar beliau lagi, pemerintahan Pas perlu sedar bahawa terdapat kawasan di negeri itu yang mempunyai majoriti kaum India dan beragama Hindu
Katanya, keputusan ini akan menimbulkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan penganut Hindu di Kedah.
"Langkah itu juga akan merugikan koalisi yang berkuasa pada pilihan raya umum karena luka ini sangat susah untuk disembuhkan," katanya
Sumber : Sinar Harian

0 Comments